Tuesday, May 25, 2010

Jeti Sarang Buaya











Nama Jeti Sarang Buaya hangat seketika apabila tersiar di akhbar Utusan Melayu pada 6 Mei 2010 kerana keuzuran jeti tersebut. Dilaporkan, terdapat lebih kurang 40 nelayan yang berpangkalan di jeti tersebut dan hampir setiap hari ada sahaja nelayan yang mengalami kecederaan akibat dari terjatuh ketika menggunakan jeti tersebut. Pengarah LKIM negeri Johor segera melawat pengkalan tersebut pada keesokan harinya bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh masyarakat nelayan di sana. Ketika lawatan, wakil dari PNK Muar, Encik Mohd. Zin Bin Ali turut hadir sama.

Pengurus PNK Batu Pahat juga telah membuat lawatan ke jeti tersebut bersama Pembantu Ehwal Ekonomi, Encik Mohd. Zin Bin Ali beberapa hari selepas tersiarnya berita tersebut di dada akhbar. Malah, Ketua Pengarah LKIM, Dato’ Mustafa Ahmad turut menyuarakan hasrat untuk singgah melihat sendiri jeti tersebut ketika dalam perjalanan pulang dari Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Johor. Walaubagaimanapun, hasrat tersebut dibatalkan memandangkan Dato’ Ketua Pengarah ingin hadir ke majlis pengebumian salah seorang pengarah bahagian di LKIM ibu pejabat.

Jeti Sarang Buaya terletak di dalam daerah Muar jika mengikut pembahagian persempadanan daerah di dalam negeri Johor. Walaubagaimanapun, jeti yang menampung lebih kurang 35 buah vesel sebenarnya digunakan oleh majoriti pemegang kad e-nelayan di bawah penyeliaan Persatuan Nelayan Kawasan Batu Pahat.

Ketika lawatan diadakan, terdapat lebih kurang 35 buah vesel yang berada di jeti tambatan. Walaubagaimanapun, ketika lawatan diadakan, hanya 28 buah vesel yang mempunyai nombor pendaftaran dan disenaraikan pemegang lesen vesel A di Jabatan Perikanan.

25 vesel adalah pemegang kad e-nelayan seliaan PNK Batu Pahat dan hanya 3 vesel pada ketika itu adalah pemegang kad e-nelayan di bawah penyeliaan PNK Muar. Mengambil sikap prihatin kepada nelayan, PNK Muar mengambil tanggungjawab untuk menyediakan laporan dan apa jua maklumat berkaitan kepada mana-mana pihak dan agensi kerajaan.

PNK Muar telah memberi penerangan dan maklumat yang diperlukan di dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Muar yang dipengerusikan sendiri oleh Dato Razali Ibrahim. Maklumat turut disalurkan kepada Yang Berhormat Dr. Robia Hj Kosai yang merupakan ADUN Sg. Balang ketika lawatan diadakan pada 16 Mei 2010. Ketika lawatan itu, Persatuan Nelayan Kawasan Muar diwakili oleh Encik Zainal Bin Abdul Jalil yang juga merupakan timbalan pengerusi PNK Muar.

Dan yang terbaru, Dato' Razali Ibrahim sendiri yang begitu prihatin dengan nasib para nelayan, turun ke jeti sendiri untuk melihat kepayahan nelayan di pengkalan tersebut. Pada waktu yang sama juga satu sidang akhbar diadakan bagi memaklumkan maklumat terkini mengenai jeti tersebut. Maklumbalas yang diterima dari Pengarah Infrastruktur, Tuan Haji Othman Yusof menyatakan bahawa pada dasarnya, waran bagi pembinaan telah diberi kelulusan namun, anggaran harga masih belum dapat ditentukan memandangkan LKIM negeri Johor di dalam proses kajian tapak, menyediakan spesifikasi dan anggaran kos bagi proses membaik pulih jeti tersebut.



0 ulasan:

Post a Comment